Pages

Tuesday, May 22, 2012

Penaakulan Kecil Besar.

“Mail, mahukah kau tahu sesuatu? Dalam buku aku yang baru, aku ada tuliskan beberapa perkara baru yang aku temukan. Mahukah kau dengar?” 

Mail sekadar mengangguk, merenung Melissa yang anggun berbaju kurung. Jauh dari kebiasaan dia yang hari-hari lain, bergaun labuh. 

“Cantik” Mail terlepas kata. 

“Apa?” Mel tersenyum, pura-pura bertanya sedang telinganya cekatan menangkap butiran kata Mail. Melissa, gadis yang suka dipuji. 

“Kau percaya Syurga, bukan?” 

Mail mengangguk kali kedua. 

“Fikiran aku hari ini memikirkan tentang hal-hal kecil dan hal-hal besar.” 

Mail menjungkit bahunya, tak mengerti. 

“Yang besar, akan jadi kecil bila kita fikir yang besar. Yang kecil akan jadi besar bila kita fikir yang kecil.” Mel menarik nafas. Kening Mail pula terangkat. 

“Hukum kecil besar yang pertama; kita tak jadi marah walau disakiti, jika kita fikir boleh jadi itu laluan kita ke Syurga” 

Mail diam. 

“Hukum kecil besar yang kedua; kita tak jadi meniru dalam exam, sebab keberkatan yang jauh lebih panjang, adalah lebih bernilai berbanding markah yang akan kita skor dalam tempoh yang sekejap” 

Mail bungkam. 

“Hukum kecil besar yang ketiga; kita takkan jatuh cinta dengan mudah, sebab cinta boleh datang atas sebab yang rapuh. Bila hilang sebab, maka hilanglah cinta di kemudian hari” 

Mail senyap. 

“Hukum kecil besar yang kelima; kita tak terkisah karya atau kerja kita diulang, malah diletakkan saja milik sesiapa, kerana yang kita mahukan adalah pahala-pahala dari tangan yang menyebarkan. Lagi jauh tersebar, lagi bagus! 

Mail tergaru-garu kepala. 

“Hukum kecil besar yang keenam; kita tak peduli berbuat banyak, kerana yang dikisahkan adalah amal mana yang akan menggolongkan kita menjadi ahli Syurga”

Mel menggula lagi, manis. 

“Selesai, Mail. Sebelum hari esok, aku tambah lagi yang lainnya menjadi dua belas”. Melissa puas. Senyapnya Mail dari tadi, membuatkan dia merasakan, kemenangan sedang berpihak padanya. 

“Boleh aku tambah yang ketujuh, untuk hari ini?” Mail menokok. Mel tercengang. 

“Hukum kecil besar yang ketujuh; boleh kita menjauh, Mel? Jin yang kecil boleh jadi besar. Dosa yang kecil boleh jadi yang besar. Dan hati aku yang kecil, boleh jadi besar.” 

Kali ini, Mel diam. 

Bungkam. 

Senyap.

3 comments:

..::Srikandi Asytari::.. said...

kakakkk..

subhanallah! :')

terima kasih murobbi.

Anonymous said...

keempat?

Umairah. said...

ainum:
XD

anon:
hukum kecil besar keempat; bila anon terperasan hal yg kecil, sedang penulis tak terperasan hal yg besar (nombor empat)

heh
XD

ps: syukran.