Pages

Wednesday, April 25, 2012

URBAN.

“Pandang ke luar. Apa yang kau nampak?” 

Dia menyoal, sambil memperbetul kemeja-T putihnya. Tak berkolar, kosong, dan ringkas. Cuma, tertulis “Urban”, melintang dengan dakwat hitam di sebelah kiri, paling bawah. 

Menujah pandang, dari kaca lutsinar, yang terlihat cuma orang lalu lalang. Sesak. Deretan kedai-kedai bertentangan pun jelas sekali dari kedudukan aku; Grace Latte Boutique, Writer’s Coffee Shop, La' La' Bakery, dan lain-lain. 

“Erm, paling hujung siber kafe. Antara design yang paling aku suka. Mural hitam putih, kartun tak kartun. Lukisan-lukisan abstrak tergantung. Terhias juga telefon, mesin taip, yang antik di satu sudut. Duduk letak kerusi meja. Dan..” Aku langsung keputusan kata.

“Dan, pemiliknya yang indah. Seindah namanya, Dalily!” Pintasnya cepat, memotong kata-kataku. 

“Dalily, mirip! Semirip daisy ungu yang lembut. Tak begitu?” Sambungnya lagi, memaku kedua matanya pada bumbung siber kafe; coklat tua yang pekat. Aku sekadar memaparkan riak selamba, sedang hati bergoncang bagai mahu luruh. Mahu jatuh, mendengarkan nama itu. 

“Dalily; daisy ungu yang lembut!” 

“Tak pasal-pasal suruh aku pandang luar. Apa hal?” Aroma teh serta-merta menangkap reseptor bau. Nyaman! Gula yang masih belum larut, kelihatan membukit di dasar cawan. Butirnya kemudian mengguling bersama daun pudina, ketika aku sentuh dengan sudu kecil berwarna emas. 

“Ilham untuk skrip baru?” Tanya aku lagi. Dia tenang mengangguk, sebelum meneguk kopi yang sudah berbaki separuh. 

“Cerita cinta kau kan banyak. Petiklah yang mana-mana pun.” Balas aku. Mata ligat mengitari kafetaria kecil yang mungkin pemiliknya gemarkan alat muzik. Tergantung gitar asli yang melekap pada dinding sebelah kanan. 

Dindingnya sederhana, berhiaskan sejuta corak empat segi yang garisnya hanya kelabu dan latarnya putih susu. Uniknya, berhadapan dinding ini, dikepilkan seribu satu foto-foto klasik pada tali guni yang memanjang, dengan hanya menggunakan penyepit-penyepit kayu. 

“Aku rasa, dia fotografer. Atau sebetulnya, peminat Harley Davidson. Penuh gambar motor!” Muncung mulut aku tertala pada lelaki separuh usia di kaunter pembayaran. Lelaki itu, tampak bergaya dengan jaket hitamnya. Dia sengih, terperasankan aku yang terlalu ralit memerhati. 

“Patutlah kau ke sini. Banyak benda pelik.” Aku mengangkat kening. Dia membalas dengan seribu kedutan di dahi. 

“Kepelikan itulah yang mahu aku serap dalam karya aku. Sudah seribu satu kisah cinta aku tulis, sekali sekala mahulah ubah selera.” Dia kelihatan bingung. 

“Cinta akan kekal, sekalipun manusia mati. Kita hidup dan mati pun dengan cinta! Dengan mengangkat cinta, karya kau pun, akan hidup!” Entah kata falsafah siapa, aku cedok. 

“Kau mahu aku tulis tentang apa? Walladah bertemu Zaidun, gara-gara terlanggar. Buku bersepah, saling memandang, lalu jatuh cinta?” 

Aku diam sahaja, mendengarkan. 

“Ah, tipikal.” Jawabnya, sepatah. 

“Atau kau mahu, Laila bertemu Qays, gara-gara dijodohkan ibu-bapa masing-masing. Gaduh-gaduh, kemudian jatuh cinta?” 

Aku tenung sahaja, mendiamkan. 

“Ah, novelik.” Jelasnya, ringkas. 

“Atau kau mahu, Kushayr gangster sedunia berubah setelah bertemu ‘Azzah, perempuan Melayu terakhir? Atau kisah Rumi yang sukakan Juli, tapi Juli sukakan adiknya, Rama?” 

“Klise. Bosan!” Ujarnya lagi. 

“Zaman kita yang sekarang ini, sekurang-kurangnya remaja sudah tahu terma “EVERYBODY HAS THEIR OWN LOVE STORY”. Tak ada lagi terkinja-kinja depan tivi, ralit dengan kisah cinta orang lain. Tak ada lagi tersedu-sedan melayan kisah cinta tragik dalam novel. Atau sekurang-kurangnya, tak ada lagi yang terlompat-lompat mahukan kisah cinta mereka persis ini dan itu. Kerana mereka sudah faham makna “OWN”. 

Dia menghela nafas. 

“Maksud kau, sebab masing-masing sudah berbangga dengan originaliti dalam kisah masing-masing yang hakiki? Cinta yang nyata itu, begitukah?” Dia membalas, dengan satu anggukan. 

“Jadi, aku mahu cipta sesuatu yang lain, seperti..” 

Seorang pemuda berkemeja biru kotak-kotak bertandang dengan beg galas di belakangnya. Wajahnya mirip Shah Rukh Khan, cuma tubuhnya sedikit berisi. Di tangannya penuh buku-buku. Peluh merenik, meluncur deras, lalu jatuh ke pipi. 

“Bang, karya terbaru kami.” 

Majalah yang saiznya separuh kertas A4 dihulur. Kawan aku sambut, dengan muka penuh tanda tanya. Tertulis “URBAN” di kulit depan majalah, persis kemeja yang dipakai. Mungkin kertasnya yang putih, kosong, bersih, dan kemas yang menarik perhatian lelaki di hadapan aku untuk langsung membeli. 

“Kalau di Indonesia, aku pernah kenal dengan terma ‘Budak Jalanan’ yang menyanyi di tengah bandaraya. Apakah sekarang, kita ada Buku Jalanan?” Katanya, sambil terus membelek majalah mini tersebut. Pemuda tadi, hampir telah dua minit berlalu meninggalkan kafetaria. Tak tersempat menjual yang lain, gara-gara diperhatikan tajam oleh pemilik kafetaria. 

Kawan aku langsung diam, khusyuk membaca. 

-- 

“ANTARA DUA ISTIMEWA” 

Wahai penulis yang tandus cerita, 

Ketika ramai remaja mula memartabatkan “everybody has their own love story”, dan berbangga dengan rentak dan gaya kisah cinta ‘halal’ masing-masing, bukankah telah kau lihat cerita-cerita cinta jadi tak laku? stok-stok novel tak terhabis dijual? kau malah jadi bingung mahu ketengahkan cerita apa? pelakon, penerbit pun, bukankah hilang punca? 

Lalu geng, apa kata, kita ‘gandakan’ selera mereka? 

Dari mereka bangga dengan kisah cinta manusia, kita beralih bangga mereka pada cinta Pencipta? sedang mereka sibuk ‘geledah’ istimewanya kisah mereka, kita buat mereka cari amal istimewa? 

Kita kutip semangat Bilal bin Rabah, yang terdengar terompahnya di Syurga, gara-gara solat wudhuknya di dunia. 

Kita gali motivasi Ikrimah bin Abi Jahal, yang tak sudah mencium kitab, mengulang kata, demi meneguh yakin dan percayanya; “ini adalah kitab Tuhanku. ini adalah kitab Tuhanku”. 

Kita hitung inspirasi Abu Dujanah, yang mengatakan: “tidak ada amalanku yang aku yakini dapat menolongku kecuali dua amalan. pertama; aku tidak pernah membicarakan hal-hal yang tidak berguna bagiku. kedua; hatiku selalu berbaik sangka kepada kaum muslimin.” 

Pada mereka, ada amal-amal istimewa. 
Pada mereka, ada kisah cinta buat Pencipta 

Untung-untung saja, ada amal kecil kita sedang diperhitungkan, menjadi kisah cinta paling istimewa, menjadi rahsia, antara kita dan Dia! 

Penulis: SRK Malaya / Abdul Hameed Khan

-- 

“Jom.” Dia bingkas berdiri. Merembat cepat anak kunci ke dalam genggaman. 

“Ke mana?” Tanya aku, terkebil-kebil. 

“Skrip!” 

“Eh, tajuknya?” 

“URBAN”

Dia senyum, puas.


_____
apr'12/2131/uiam

7 comments:

Anonymous said...

subhanallah! :)

-hazen said...

indah.

mengajar saya banyak perkara.

Umairah. said...

anon:
alhamdulillah :)

hazen:
mungkin cara awak membaca, berfikir, dan berimaginasi yang mengindahkan karya ini.

alhamdulillah, t. ksh.

Anonymous said...

:)

~jamilah

madziani said...

Salam Umairah.

Kali pertama komen di sini. Dah lama baca blog ni. Setuju sangat dengan entri ini. Dulu, masa muda remaja, suka juga baca novel-novel cinta alaf21. Bila sudah meningkat dewasa sedikit, bila baca semua karya menjemukan.

Satu, tiada sastera indah-indah
Dua, jalan cerita sama
Tiga, cinta yang diketengahkan tidak mendidik, malah hanya membuat remaja kian hanyut.

Lama-lama, akak berhenti membaca novel-novel begitu. berharap adanya karya-karya yang mendidik jiwa agar kenal Pencipta lebih.

:)

Umairah. said...

jamilah:
:')

madziani:
alhamdulillah :)
t.ksh akak.

erm, nampaknya kita kena kerja 'keras' sikit, utk hasilkan karya yg lebih baik.

kita tak boeh ubah keadaan, tapi mungkin boleh cuba ubah karya-karya kita pula, kan?

moga Allah mudahkan saya dan akak.
amin3. :D

nurul said...

salam. lama dah membaca blog ini. tapi karya ini mengundang saya untuk meninggalkan jejak di sini. sungguh indah karyanya :)