Pages

Sunday, October 2, 2011

Senandung Cinta Al-Fatihah.


LATAR BELAKANG CERPEN

Teringat cerpen yang ini, sebab adik minta buat skrip drama pentas. Entah, ada presentation apa katanya. Dia nak tema pendidikan. Bila belek-belek dan baca yang ini, rasa macam sesuai. Cuma, nak convert ke dialog-dialog biasa.

Tapi, iyy-yerk! Macam tak percaya, pernah tulis cerpen seberani ini. Macam malu saja? Well, emosi manusia berubah-ubah.

Hmm.

Saya tengok tarikh, 26 September 2010. Ingat lagi, cerpen ni ditulis lepas hadiri satu bengkel penulisan di Al-Amin. Waktu tu, ada Nisah Haron. Dan beliau ada mengulas sikit tentang pengikut sistem. Sistem yang sama dengan diri saya, "I hate exams very much". Hehe. Kiranya, kami sama-sama pemberontak sistem la. Ceh, konon!

Dan, sem itu saya ambil subjek Quranic & Prophetic Text dengan Ustaz Maahad. Pernah belajar huraian balaghoh dalam Al-Fatihah. Tak banyak, surface je. Tapi, serius! Best, nikmat! 

Waktu tulis ni pun, teringat kat Ustaz ‘Ala jugak kot. Sebab dia pernah cadangkan students dia sambung masters atau phd dalam comparative literature. Tak kisahlah Arab-Malay, Eng-Arab, France-Arab dan sebagainya.

Taktaulah ada yang pernah terbaca atau belum.

Semuanya,
Setahun yang lalu.

Kalau baca karya Hamka, “Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck”, kita akan rasa macam ada banyak yang tak kena dengan jiwa. Entah, bagi sayalah! Tapi, fikir-fikir balik beliau siapa dan kita siapa? Erm, tahulah saya bahawa konteks waktu itu yang menjadikan penulisannya sebegitu.

Maka, bacalah cerpen ini ikut "konteks" setahun yang lalu, kalau berniat untuk membacanya. Hehe. Panjang betul muqaddimah.

Wallahhua'lam.



++++++


"Senandung Cinta dalam Al-Fatihah"

“Ada bantahan atau cadangan?” soal Fatimah Dhuha sebelum mengakhiri kuliahnya pagi ini. Suasana dewan kuliah sunyi sepi. Penghawa dingin saja yang kedengaran menderu-deru tanpa henti. Dingin memeluk tubuh. Langit teduh, dan hujan masih gerimis.

Suasana sepi, tanda kesemua pelajar faham dengan penerangannya. Dia lebih gemar menggunakan komunikasi dua hala dalam pengajarannya. Mana yang tak faham, diskusi dibenarkan. Kelas jadinya seperti tidak skema, malah pelajar bebas melontar idea dan berdiskusi dengan teman kiri, kanan, depan atau belakang.

“Peperiksaan minggu depan. Minta semua fokus topik ini. Perbezaan kesusasteraan Melayu dan Arab, bab 2, 3, dan 4.”

Hingar-bingar kembali mengambil tempat.

“Doktor..” Seorang lelaki tegak berdiri. Tangan kiri yang bersarung jam tangan, diangkat separa telinga. Fatimah Dhuha menghembus nafas perlahan.

Ah! Kali ini, kenapa harus kau lagi? Apa sebenarnya yang kau mahu?

Fatimah Dhuha tenang. Masih senyum ramah seperti biasa.

“Ya, Abdul Rahman?”

Suasana sunyi kembali.

“Maaf kalau saya katakan, doktor cuba mengajar kami menjadi pengikut sistem. Sangat bertentangan dengan huraian dalam Al-Fatihah, panjang lebar yang doktor terangkan pada awal pertemuan kita yang lalu.”

Dewan kuliah jadi tambah sunyi. Masing-masing menoleh ke arah Abdul Rahman. Pelik dan aneh sekali dengan kenyataan yang dikeluarkan. Lelaki ini memang pelik bagi mereka. Ideanya adakalanya sukar sekali diterima. Pemikirannya terlalu jauh, kadang-kadang sukar difahami. Dia.. pelik!

“Kritis”. Bisik hatinya.

“Buktinya?” Fatimah Dhuha menyoal kembali.

“Iyyaka na’budu, Wa iyyaka nasta’in. Hanya kepadaMu, kami menyembah. Hanya kepadaMu, kami meminta pertolongan.” Abdul Rahman mengalunkan merdu. Fatimah Dhuha tersentuh. Irama itu seakan-akan memainkan memori lama.

“Abdul Rahman..”


++++++++++++


Malam jadi bisu. Fatimah Dhuha masih menunduk malu. Entah bicara apa yang wajar dimulakan, susah sekali rasanya. Pipinya memerah, diburu malu yang tak berkesudah. Dari petang tadi lagi, dia seakan-akan cuba melarikan diri. Keadaan yang kalut, dengan kehadiran sanak-saudara, jiran tetangga yang meraikan kedua mempelai, seakan jadi penyelamat dari panahan mata seorang lelaki. Kelakukan itu benar-benar masih aneh, kerana belum pernah walau sekali dalam hidupnya, menerima kehadiran cinta. Walau pada masa dan ketika ini, halal baginya untuk membuka hati.

“Bulan..kenapa kau hadir juga? Argh.”

Kini, mereka berdua. Allah jadi saksi.

Bintang-bintang terang menyerlah. Bulan juga ada menemani. Pawana bertiup lembut. Melibas-libas tudung berwarna krim yang masih tidak tercabut dari kepala. Rasa asing itu masih melingkar. Sukar sekali untuk dia pecahkan rasa asing. Dia perlu masa. Dia malu. Malu yang sungguh-sungguh.

“Mahu tidak mahu, kau kini isteri. Bukan pelajar lagi. Kau isteri kepada Abdul Rahman. Pensyarahmu yang dulu kau sanjung tinggi. Kini, dialah suamimu. Yang harus kau sanjung lebih tinggi dari pangkat dan status yang dulu.”

Monolog dalaman berterusan mengacau ketenangan hati.

“Sesungguhnya aku, suamimu mencintaimu, isteriku kerana Allah. Lelaki di hadapanmu ini, bukan lagi pensyarahmu. Tapi, suamimu. Bantu dia untuk menjadi hamba yang beriman dan taat. Doakanlah dia agar mampu menjadi soleh untukmu.”

Pipinya terasa basah. Cepat-cepat, bucu tudung dijadikan tisu.

“Subhanallah..sedemikian kau merendahkan dirimu, padaku?” Hati berkata-kata lagi. Suasana masih sunyi.

Dia cuba juga mengatur kata. Perlahan-lahan, meski tersekat-sekat.

“Aku juga mencintai dia, err..suamiku, kerana Allah..”

Abdul Rahman tergelak. Malu sungguh dia rupanya.

“Tak bolehkah gantikan perkataan “dia” dengan “kamu”? Aku mencintai kamu, suamiku”. Bukankah ayat ini lagi sedap kedengaran?”

“Iyyaka na’budu, wa iyyaka nasta’in..” Tiga kali ayat itu diulang.

“Kekuasaan Allah ada di situ. Keagungan Allah ada di situ. Kalimah 'ka', yang membawa maksud 'kamu', menunjukkan sangat dekat. Allah mahu merasakan kita selalu dekat dengan Dia."

“Ah. Takkan di sini pun kau cuba bersyarah lagi. Penangan Al-Fatihah cukup besar dalam dirimu, ya! Hah..bagus juga.” Fatimah Dhuha berkias-kias. Masih juga dalam hati.

“Balaghoh dalam Al-Fatihah. Al-Iltifat, namanya. Penukaran dari al-ghoybah (yang ghaib) pada ayat sebelumnya, kepada al-khitob dalam ayat ini.” Fatimah Dhuha, tanpa segan memberitahu. Dia gemar balaghoh Al-Quran. Dia kagum pada seni-seni indah yang terkandung dalam Al-Quran.

Abdul Rahman cuba memancingnya lagi. Mahu segan isterinya segera hilang. Mahu dia tenang, tidak kalut seperti tadi.

“Ermm..bagus.” Fatimah Dhuha tersenyum manis dipuji.

“Orientalis sengaja memutar belitkan Al-Quran. Dikatanya Al-Quran itu tidak sistematik. Dikatanya Allah menggunakan kata diri yang pelbagai. Kadang-kadang digunaNya, “ana-saya”, kadang-kadang digunaNya, “nahnu-kami”, kadang-kadang digunaNya, “hua” pula yang membawa maksud “dia”. Tanpa mereka tahu, sedangkan, itulah yang menunjukkan kekuasaan Allah. Keagungan ayat-ayat Al-Quran. Penggunaan setiap perkataan di dalamnya ada makna, maksud, dan kegunaannya yang tersendiri.”

Fatimah Dhuha makin berani menghuraikan pendapat. Abdul Rahman tersenyum lebar. Pancingannya mengena. Kini, dia adalah Fatimah Dhuha yang lantang berbicara di dalam kelas.

Abdul Rahman mengangguk-angguk.

“Apa yang sayang dapat dari ayat tadi?”

“Sayang?”

“Gulp.” Fatimah Dhuha gugup seketika. Perasaan itu cepat-cepat dibiarkan tenggelam. Semangatnya lebih berkobar-kobar untuk bercerita lanjut.

“Iyyaka..hanya padaMu, menunjukkan Allah mahu kita rasa dekat denganNya. Kalau digunanya kalimah iyyahu..hanya padaNya, bukankah akan membuatkan kita rasa jauh denganNya?” 


Fatimah Dhuha sengaja menyoal, meski dia maklum, jejaka di hadapannya lebih arif tentang itu.

“Maka..bukankah “Aku mencintaimu kerana Allah”, lebih baik dari “Aku mencintai dia, suamiku..kerana Allah? Bukankah “kamu” itu lebih dekat dari “dia”?

“Al-Fatihah pun boleh jadi pemula ta’aruf. Kreatif tak kreatifnya kau, ‘Abdul Rahman!”

Fatimah Dhuha tersenyum, spontan. Diam. Mukanya memerah lagi, menahan malu.


++++++++++++++

“Doktor..Doktor..”

Sayup-sayup, dia kembali ke dewan kuliah. Lamunannya terbang menghilang.

Abdul Rahman..kau. Kaukah Abdul Rahman itu? Tidak! Dia pensyarah, dan dia suami. Allah, tetapkan hati untuk menerima takdir.

“Maaf. Saya..saya.. Err..apa soalannya tadi?” Dinding keyakinannya bagai pecah berkeping-keping. Pelajar-pelajar lain terpinga-pinga. Abdul Rahman masih setia menanti jawapan dari pensyarahnya.

Kau lebih manis dalam kekalutan semacam itu, Fatimah Dhuha. Ketegasan yang ada batas, tapi tersimpan seribu satu kekacauan yang tak diteroka sesiapa. Izinkanlah Tuhan, aku jadi peneroka. Walau bukan yang pertama, sekurang-kurangnya, aku yang terakhir?

Abdul Rahman merenung lama.

“Oh, maaf kalau saya katakan, doktor cuba mengajar kami menjadi pengikut sistem. Bertentangan dengan huraian dalam Al-Fatihah, panjang lebar yang doktor terangkan pada awal pertemuan kita yang lalu.”

“Buktinya?” Fatimah Dhuha cuba-cuba untuk bertenang.

“Sistem pendidikan yang ada sekarang cuba mengajar untuk kita jadi exam-oriented. Belajar kerana peperiksaan. Sedangkan, doktor pernah berpesan, belajar kerana Allah, bukan kerana peperiksaan. Selama ini, doktor mendidik kami supaya menjadi pemberontak sistem. Bukan pengikut sistem tersebut. Tapi, bila kami diminta untuk fokus kepada tajuk-tajuk yang harus dibaca, bukankah menunjukkan doktor sendiri cuba beralih dari pemberontak sistem kepada pengikut sistem?”

Fatimah Dhuha terdiam. Ada rasa lega dalam dirinya.

Abdul Rahman yang dulu, lembut hatinya. Dia tidak keras, tidak memaksa. Tidak lantang, melainkan terpaksa. Abdul Rahman yang ini, tegas sekali. Mereka bukan orang yang sama. Berbeza sekali.

“Lalu..apa kaitannya dengan Al-Fatihah?” Aufa, pelajar yang tidak kurang aktifnya, tiba-tiba bersuara.

“Iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’in. Hanya kepadaMu, kami menyembah. Hanya kepadaMu kami meminta pertolongan mengajar kita untuk melakukan apa saja kerana Allah. Sepenuh ketaatan hanya milikNya. UntukNya. Solat, puasa, zakat, hatta BELAJAR sekalipun. Harusnya kerana Allah. Kalau pensyarah sendiri memisahkan topik-topik yang harus dibaca dan tidak dibaca, bukankah menunjukkan kita belajar hanya untuk menjawab soalan dalam peperiksaan? Tujuan menuntut ilmu itu, secara hakiki dan maknawinya, bukankah tidak kesampaian?”

Aufa mengangguk-angguk. Pelajar-pelajar lain mulai bising-bising. Ada yang bersetuju, ada yang tidak bersetuju.

“Ah, kritis.” Gumam sang hati. Dia akhirnya tersenyum. Ajarannya selama ini rupa-rupanya, berbekas di hati.

“Kata Saidina Abu Bakar, ‘Ikutlah aku, andai aku mengatakan yang hak. Betulkanlah aku, andai aku mengatakan yang bathil’.

 Kata imam mazhab yang empat, kalau mendapati mereka bertentangan dengan sunnah, maka tolaklah segala pendapat-pendapat mereka.

Terima kasih, Abdul Rahman.. participation marks untuk awak. Dan Aufa juga!”

Fatimah Dhuha senyum lagi.


26 sept 2010
12.30 tengahari







____
*kredit pic: gloomy roseville



2 comments:

Zimah Zaiwani said...

salam. akak, apa khabar"? hee... lmnya x bc blog akak. akak, cerpen ni endingnya mmg mcm ni atau ada sambungan dia? mcm hanging je.... kalau blh, panjangkan lah lg jd satu novel. hehehe. sgt menarik =)

salam rindu :)

[umairahshafei] said...

w'salam wrt.
:)

alhamdulillah, bikhayr. sebenarnya, setakat ni saja cerpen ni. akak tak banyak eksperiens la dik. kena tunggu ada eksperiens dulu kot? hehe. :P

apapun, doakanlah. moga tersusun jadi novel kelak.

amin3 ya Allah.
syukran dik~