Pages

Thursday, June 9, 2011

Langit.

 


Sinar cemerlang di kaki bukit masih belum muncul. Pagi masih dingin yang nyaman. Kebiasaan hari, saya buka tingkap luas-luas, biar udaranya menerjah masuk ke sekitar ruang bilik. Kesegaran yang memberikan energi untuk memulakan hari baru. 

Lampu jalan masih belum padam. Walaupun dalam samar-samar, bunyi kenderaan masih kedengaran hingga ke sini. Yang jelas, suara unggas tanpa henti terus mengalunkan berzikir. Mereka pun "ber-al-ma'-thu-rat" juga, mungkin? :')

Pagi ini, memori saya terimbas diari lalu. Saya tersengih sendiri. Perasaan "entah-apa-apa" itu wujud. Entah berapa kali diulang, saya pernah mengatakan, "jangan main-main dengan tulisan". Walaupun sekadar contengan! Kerana saya merasakan sekarang ini doa-doa, dan azam-azam itu SEDANG dimakbulkan, dengan caraNya yang penuh hikmah. Tersusun, meski prosesnya sungguh lama dan panjang.


Entah bila, saya tidak pasti. Sekitar tahun 2007. Terconteng penuh di halaman belakang diari, "empat-kategori-solehah". Pertama, calon anak dan kakak solehah. Kedua, sahabat solehah. Ketiga, isteri solehah. Dan yang terakhir, ibu yang solehah. Dan untuk setiap kategori, saya cirikan beberapa perkara yang WAJIB saya pelajari, serta praktikkan setiap persatu. Dan untuk kesetiap ciri juga, ada kotak kecil di sebelah, untuk saya tanda, sama ada DONE atau UNDONE.

Ternyata, ciri-ciri yang saya tuliskan bukan calang-calang. Bukan calang-calang untuk seorang saya yang biasa-biasa. Sukar sekali untuk dipenuhi. Sukar sekali mahu jadi SESEMPURNA itu. Hmmm, saya pun tak pernah mahu jadi SEMPURNA, sekadar enjoy BELAJAR. Menelusuri ketidaksempurnaan bersama-sama itu, sangat indah bukan? Banyak sekali sisi-sisi kelemahan untuk diperbaiki, dan saya tidak mengatakan prosesnya MUDAH. Sangat bukan mudah.

Beberapa saja yang bertanda "DONE". Selebihnya, tidak bertanda. Langsung-langsung, sampai sekarang! Saya pun sudah agak lama tidak membelek diari, hinggalah entah macam mana terkenang-kenang pula saat ini. Detik ini. 

2007; bermakna 4 tahun sudah berlalu. Sungguh, saya terkesan dengan Surah Al-Ankabut, ayat ke-69

"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan Kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik." (Al-Ankabut:69)

Sesungguhnya, Dia tak bagi "ZUPPPP! Nah, kau ambik pandai masak." atau "Nah, sekarang kau jadi penghafal yang baik" atau  "Nah, organizer yang bagus" atau "Nah, driver yang cekap", atau "Nah, leader yang hebat!".

Hakikat, semuanya melalui KEMAHUAN dan KESEDIAAN melalui proses yang panjang. Kemahuan untuk mencapai cita-cita. Dan, kesediaan untuk melalui apa saja cabaran bagi mencapai cita-cita. JIHAD melalui detik-detik serta saat-saat yang perih dalam tempoh pembelajaran dan pendidikan. 

Belajar ditarbiyah untuk mentarbiyah.

Subhanallah, tarbiyah menemukan segalanya! Kunci kepada segala pembaikan. Kau bercita-cita mahu jadi anak yang solehah? Kakak yang solehah? Sahabat yang solehah? Isteri dan ibu yang solehah? Murabbi solehah dan muslehah? Daieyah nafi'ah

Tanpa sedikitpun ragu, TARBIYAH adalah kuncinya. Allah menganugerahkan nikmat tarbiyah yang tak terungkap dengan kata-kata.

Saya rasa seperti sedang melalui fasa-fasa itu. Sedikit demi sedikit. Fasa-fasa untuk melengkapkan diri dengan segalanya. Fasa iman sedang dibentuk, dan fikrah sedang dijana. Mendasari segala ilmu dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Menjiwai keperibadian Rasulullah, para sahabat dan salafussoleh. Menyelak akhbar-akhbar dan tabir dunia dengan kaca mata Islam. Meneliti serangan-serangan pemikiran Barat; sekularisme, hedeonisme dan segala -isme yang lain. Melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan masa kini.

Tarbiyah mengajar seorang perempuan Muslimah untuk beraksi selincah dan semilitan itu. 

Walaupun, yahhh..kadang-kadang laju. Dan, kadang-kadang lambat. Kadang-kadang, errr.. terpancit juga di tengah jalan! Tapi, kita bakal ada sahabat yang akan sentiasa mengingatkan tentang tujuan hidup. Tentang tanggungjawab sebagai 'abid dan khalifah. Yang akan menguatkan kala iman lemah, dan semangat kendur.

Sungguh, banyak sekali figur teladan yang menjadi angan-angan saya! Mereka-mereka yang ikhlas dalam dakwah, tanpa jemu memperbaiki diri, dan meng-islah umat. Rumah tangga yang tidak kurang hebatnya. Beraksi hebat membantu suami, dan mendidik anak-anak dengan penuh santun halus dan tentunya berjiwa Islami.

Hmm, walaupun untuk saya, masih terlalu dan sangat-sangat jauh. =.=' Tapi, tidak salahkan untuk bercita-cita sejauh itu? 

Syurga Firdaus yang paling tinggi saja, Rasulullah minta kita berdoa dan bercita-cita untuk mencapainya. Apatah lagi mengharapkan kebaikan dalam diri, dan bercita-cita untuk menjadi agen pembaikan bagi orang lain. 

Tiada yang MUSTAHIL
Didiklah saya. Doakanlah saya.

Allahhumma Ameen. 
 




full-time-learner.





ps:  
erm, mungkin patut tambah lagi satu kategori solehah.. ;)
Allah loves us. jom sahabat, mulakan dengan jejak kita ke usrah/halaqah!  ^_^


++++




kamus:

al-mathurat: zikir pagi petang yang disusun oleh Imam Hasan Al-Banna.
tarbiyah: rabba-yurabbi: didik/mendidik
fikrah: pemikiran 
murabbi: pendidik
solehah dan muslehah: baik dan memperbaiki orang lain
da'ieyah nafi'ah: pendakwah yang bermanfaat
'abid: hamba
khalifah: pentadbir 





1 comment:

Lu'luah Nur Jamilah said...

Suka tengok tulisan tangan tu..

=]