Pages

Wednesday, January 5, 2011

Cinta Hati.


Masjid SHAS mulai kosong. Burung-burung masih bebas berterbangan, sebelum masuk ke sarang masing-masing. Warna langit kian berubah, mendung. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, cukup mendamaikan jiwa.

Dia sesungguhnya keletihan yang amat. Berkejar ke sana ke mari. Hari ini terlalu padat. Perut dari tadi berkeroncong pinta diisi. Tenaga rasanya makin susut. Belum sempat menjamah apapun melainkan hanya dua bungkus roti sejak pagi tadi. Sebotol air mineral sudah pun suku bakinya.

Hampir saja pertemuan hari ini dibatalkan. Hanya semata-mata kerana merasakan diri tak bersedia. Mungkin saja perancangan masa yang tidak tepat, maka urusan jadinya berterabur. Jenuh otak berfikir, pengisian apa pula bakal dibincangkan hari ini.

"Ya Allah, mohon dipermudahkan."

Kali ketiga pertemuan. Debar tetap juga mengusik rasa. Bimbang tiada mampu dia memberikan yang terbaik. Melitar sekeliling bangunan admin. Tiada yang kosong. Hampa.

"Kena tukar venue lagilah nampaknya.." Hati berbisik.

--

15 minit lagi, jarum bakal menginjak ke angka 6.

Dan, sekarang..

6.00 petang.

Seorang dah sampai. Alhamdulillah.

Berbaki lagi lima.

Lima minit kemudian..

Dua.

Tiga pula.

Empat terlambat.

Seiringan ke SR, penuh harapan agar kosong tak berorang.

Ibnu Khaldun pun diguna.

"Ok. Takpe. Kita pindah masjid saja ye."

--

Satu persatu anak mata ditatap. Menjiwai rasa sepenuh-penuhnya. Betapa mohon Allah alirkan kasih sayang yang di dalam ini, pada jiwa-jiwa yang masih suci bersih ini. Yang masih tidak mahu mengalah. Yang masih meluangkan masa, dan memberikan kesempatan pada pengisian hati. Setiap minggu.

Nafas ditarik dalam-dalam. Senyum seulas diberi, penuh mesra.

"Dekat sikit dik. Kita rapat-rapat."

"Semua sihat? Minggu nie, ada masalah apa-apa? Banyak kerja? Semua ok?"

Tergelak tersenyum kesemuanya. 

Alhamdulillah.

2 messages sent.

"Salam dik. X sihat? Adik boleh datang hari nie? Banyak keja ye?"
"Salam dik. Y sihat? Adik boleh datang hari nie? Banyak keja ye?"

Lima masih juga belum sampai. Meeting katanya.

Dan enam,
"Akak, mintak maaf. Tak dapat datang. Sedih. :("

--

Ketenangan luar biasa menusuk hati. Kali pertama dan kedua, meski lancar, namun masih kekok juga untuk berbicara. Kali ini, hubungan dirasakan makin rapat dan mesra. Subhanallah, pada Dia yang mengikat hati-hati, melembutkan hati, melancarkan tutur kata, mengurniakan semangat dan kekuatan. Memberikan hidayah, pedoman dan tunjuk ajar. Melapangkan masa, serta memudahkan urusan.

Allahu Allah.

Tingkat tiga. Hujung sudut itu.

"Subhanallah, pada Dia yang masih melembutkan hati-hati kita untuk sama-sama membersihkan hati. Hati kita sesungguhnya macam gelas yang kotor. Berhari-hari, tanpa sedar kita melakukan dosa. Banyak dosa, makin hitamlah sang hati." 

Terhenti, menarik nafas seketika.

"Ermm..kalau gelas kotor, apa kita buat? Macam mana nak bersihkan?"

Anak mata itu memandang, dan menyahut laju: "Kita basuh dengan air."

"Ye dik. Kita basuh dengan air. Tapi, Allah beri kita pilihan. Sama ada nak basuh dengan air yang laju, atau air yang perlahan. Bila air yang digunakan, laju dan cepat, maka cepatlah gelas itu bersih. Namun adik-adik, kalau kita gunakan air yang perlahan, setitik demi setitik, maka lambatlah gelas itu bersih."

Berkerut dahi kesemuanya. Sunyi sejeda.

Sama-sama mengajak akal untuk berfikir sejenak.

"Dan, macam itu jugalah hati kita ye dik. Mesti dibersihkan selalu. Sebab dalam sehari, dalam seminggu terlalu banyak dosa yang kita buat. Tanpa sedar, hati kita makin hitam kerananya. Dan, untuk membersihkannya, kita kena isi dengan majlis-majlis ilmu macam ni. Kita berkumpul dan berbincang tentang soal umat. Kita refresh iman, dan topup kasih sayang. Kalau tiap-tiap minggu macam ni, tiap-tiap hari ada pembersihan jiwa, maka cepatlah hati kita bersih. Kalau lambat bergerak, maka lambatlah."

Mata sepertinya berkaca-kaca. Suasana jadi sunyi seketika. Meraih syukur, kerana masih diberikan Allah kesempatan untuk bertemu. 

"Bila hati tergerak untuk berbuat kebaikan, sesungguhnya itu hidayah dari Allah. Nak datang ke sini juga, ada gerakan dari Allah. Dialah yang melembutkan hati. Maka, pada siapa yang tak grab secepat mungkin, hidayah itu mungkin akan berpindah pada orang lain. Sayang kan?"

"Dan..subhanallah. Dalam banyak-banyak orang di sini, adik-adiklah golongan yang terpilih itu. Walaupun sejam, walaupun sekali seminggu, tak mengapa. Sesungguhnya pertemuan macam ni ada rahmat Allah, kasih sayang Allah, malaikat menanungi dengan sayap-sayapnya, dan termasuk dalam taman-taman Syurga. Ya Allah, indahnya.."

Senyuman hinggap, menghias bibir. Kali ini sesungguhnya banyak pembaikan. Ya Allah, mohon dipermudahkan lagi dan lagi.

--

Pentarbiyahan hakikatnya mengajar. 

Subhanallah, pada dia yang memberikan kesempatan untuk belajar.

Belajar menumbuhkan iman dalam hati. Lagi dan lagi.

Belajar mengurangkan kemaksiatan baik zair atau tersembunyi.

Belajar membersihkan hati dan jiwa.

Dan, dengan lagi dan lagi itu, akan melonjaklah amal-amal yang datang dari ketakutan yang dibiarkan bebas. Lepas.

Tiada lagi terbelenggu dengan rasa tidak punya keyakinan, tidak bersemangat, tidak layak untuk memberi, tidak pandai, tidak hebat, dan kesemuanya yang pesimis.

Ya Allah.

Kata Imam Hasan Al-Basri:

“Iman itu bukanlah sekadar angan-angan dan bukan pula sekadar basa-basi dengan ucapan akan tetapi sesuatu keyakinan yang terpateri dalam hati dan dibuktikan dengan amal perbuatan.” 

Belajar.

Dan mahu belajar lagi.

Amin.


1 comment:

Wan Hafisah Collection's said...

sarat dgn mesej. kita beruntung, hari ini kita masih punya waktu beberapa jam lagi untuk belajar tentang kehidupan. dan syukur, barakallah, Allah bg kita peluang untuk bernafas lagi buat hari ini, saat ini.