Wednesday, April 20, 2016

Anekdot-Anekdot Aprilia.

bismillah

(i)

sepintas melalui ruang jualan makanan ringan di IKEA, tiba-tiba Faaizz tanya saya, "nak makan aiskrim tak?" saya angguk, kemudiannya pantas menggeleng. tulisan 'KOPI - RM 2' menarik perhatian saya. ternyata, secawan kopi tampak lebih menggiurkan. 

usai membayar, kami menapak ke satu ruang yang tersedia meja bulat tanpa kerusi bagi sesiapa yang ingin makan atau minum.

kata Faaizz pada saya, "hmm, style UK ni..." jujur, mengingatkan hadis yang pernah saya dengar tentang tiada salahnya minum berdiri, ditokok dengan keadaan yang semacam 'mendesak' itu, maka saya dengan tenang, perlahan-lahan menghirup secawan kopi yang masih panas. 

sambil berbual-bual, tiba-tiba muncul kelibat seorang wanita dengan dua orang anak kecilnya di belakang saya. masing-masing memegang aiskrim kon di tangan. "duduk! duduk atas lantai tu, tak kotor pun.." arah si ibu berkali-kali. lalu keduanya pun duduk dengan tanpa mempeduli orang lain di sekeliling. khusyuk dan ralit betul menjilat aiskrim yang sudah mula mencair. entah, hati saya pula yang 'terbakar'. meski arahan itu sebetulnya bukan untuk saya, tapi itulah patah kata yang buat saya termalu sendiri.

mendengarkan itu, saya kemudian mengajak Faaizz minum di bangku yang tersedia di luar premis IKEA. cuaca sangat terik, bangku pun terasa hangat. tambah berpeluh-peluh saya dibuatnya, dengan air kopi yang masih panas. barangkali inilah sebabnya orang lain lebih selesa makan dan minum di dalam ruang dingin berpenghawa, meski dengan tanpa kerusi.

saya kagum pada kekentalan si ibu yang bertegas, melawan 'budaya' di situ dengan prinsipnya yang tersendiri. hati saya berkira-kira, kalaulah saya punya anak, apakah saya akan jadi ibu yang terikut-ikut dengan 'arus' atau sebaliknya? nah, ruang itu menemukan saya dengan satu refleksi yang panjang.

kita selalu ada pilihan, namun untuk menentukan satu-satu pilihan, dari mana lagi datangnya 'kecenderungan' hati melainkan dari kedekatan hubungan dengan Pencipta? 

"terimalah teguran yang pahit dan pedih daripada manusia kerana itu hakikatnya datang daripada Allah. Allah mendidik manusia melalui manusia lain. semua yang berlaku adalah takdir, dan takdir Allah pastinya baik." 
- Ustaz Pahrol Mohd Juoi

(ii)



bukankah perempuan harus selalu menang? teringat saya pada Ip Man, dia pun pernah bilang;

"if you want him to be good, find him a wife. like me, a family with a wife and kids will make one down to earth." 

bertegas saya memilih The Kid From The Big Apple, berbanding pilihan Faaizz untuk menonton Batman VS Superman: Dawn Of Justice. serius, fiksyen jenis superhero bukanlah forte saya. hari itu, saya menang! terima kasih MBO menghadiahkan dua tiket percuma. itupun ditebus di hari terakhir sah kupon, setelah hampir sebulan berlalu.

pawagam hari itu penuh. mungkinlah bersebabkan filem ini sepenuhnya menggunakan bahasa Mandarin, maka majoriti penontonnya adalah di kalangan orang Cina. pengarahnya Cina, pelakon-pelakonnya juga Cina. kebanyakannya datang sekelompok bersama famili masing-masing. berkeping-keping tiket dibeli untuk tontotan sefamili, fuh! kalau bukan untuk tujuan aktiviti keluarga, saya pasti ia sebagai tanda sokongan pada filem tempatan, lagi-lagi diarahkan anak jati sendiri, Jess Teong. tinggallah empat ketul Melayu di baris depan, saya dan Faaizz serta dua orang lagi yang tak dikenali. entah, saya sukakan variasi dan diversiti sebegini.

setelah The Journey, Ola Bola, dan Jagat, filem ini tidak terkecuali dalam mengenengahkan nilai budaya. pada saya, ceritanya klise, mendatar dan sederhana sahaja sebagaimana sitkom atau drama di TV, namun saya tertarik dengan 'interaksi antara dua generasi' yang menjadi tema besar bagi filem ini. perbezaan kedua watak utamanya cukup ketara, memandangkan watak pertama, seorang cucu; Sarah yang lahir di New York dan sudah terbiasa dengan kehidupan yang kebaratan. kemudiannya terpaksa menginap bersama watak kedua; atuknya yang konservatif, seorang pengamal dan penjual ubat tradisional Cina di Malaysia.

ada sahaja pertembungan demi pertembungan antara keduanya, namun saya suka bagaimana akhirnya keduanya saling meraikan dan menghormati. Sarah perlahan-lahan memilih untuk berbahasa Mandarin berbanding speaking London! Kong Kong (Atuk) yang bersedia untuk belajar menggunakan telefon pintar demi memenangi hati cucunya. Sarah bahkan sabar mengajarkan atuknya menggunakan emoji. alangkah kalau sebegini kita saling meraikan dan menghormati!

ada juga diselitkan budaya-budaya lain seperti sambutan Krismas bagi masyarakat Cina, kawasan kediaman yang teguh sentimen kejiranannya, pilihan permainan anak-anak selain gadget, tradisi martial art dan ubat-ubatan tradisional Cina, susun atur perabot rumah dan sebagainya. kesemuanya kaya dengan nilai budaya dan tradisi tempatan. ia seolah-olah kuat menonjolkan mesej, 'biar mati anak, jangan mati adat.' padanlah dengan anugerah yang diterima di Macau International Movie Festival.

alahai, indah!


(iii)


hah! syukur selesai mengedit satu lagi buku terbitan Deen Prints; Bahagia Bukan Gembira tulisan Anfaal Saari, setelah terbitnya Bila Emak Berdrama karya Salwa Saleh. memenuhi impian penulis-penulis baru untuk memiliki buku sulung, ternyata pada saya, ia adalah hal yang cukup menggembirakan!

membaca The Alchemist, Paulo Coelho, kuot yang ini mengulang-ulang dalam kepala otak saya. rasanya, berkali-kali juga penulis mengulang mesej ini;


The Alchemist, pg. 120

"you must always know what it is that you want.." the old king had said. (The Alchemist, pg. 58) mungkinlah keinginan saya untuk mengarang buku sendiri belum cukup kuat, hinggakan entire universe belum mahu berkonspirasi untuk mencetuskannya, ahaks!

bercerita tentang jenis pekerjaan, ia selalu membentuk sikap dan peribadi. kalau saya, menjadi editor mengajarkan saya untuk lebih berwaspada menggunakan bahasa. saya terlalu menghargai setiap inci huruf dan perkataan.  macam kata James Michener, "...I love the swirl and swing of words as they tangle with human emotions." setiap buku, meski bukan buku saya adalah kelahiran-kelahiran yang baru. macam Elif Shafak mengatakan, pada beliau, setiap buku yang baru terbit adalah persis bayi yang baru lahir. jujur, melibatkan diri dalam industri perbukuan sepenuhnya, dunianya berbeza berbanding cuma menjadi seorang pembaca atau penulis. kita belajar banyak perkara, dari awal proses manuskrip ditulis hinggalah proses penerbitan dan pemasaran. ia tidak semudah tulis dan terbit sahaja.

tereflek saya bila satu hari, saya putus asa memasang rak baju yang baru dibeli di IKEA. bayangkan setelah siap semuanya, harus dibuka semula hanya sebab satu kesalahan kecil, fuh! untuk orang yang terbiasa membaiki mesin, sedia berkali-kali mencuba dan memasang, kerja ini adalah kerja mudah dan biasa bagi  Faaizz. dia malah ajak saya mengopi dulu sebelum mencuba sekali lagi. "rileks, rileks, chill!" katanya.

mengelek Memoar Hasan Al-Banna juga sama. Al-Banna sedari awal terdidik untuk mengikuti ayahnya, seolang alim ulamak yang bekerja sebagai tukang membaiki jam di Desa Al-Mahmudiya. kerja-kerja pengendalian objek yang kecil seperti skru sebegini, tidak lain membentuk peribadi untuk sabar, peka, sensitif, dan teliti. maka, membesarlah jiwanya dengan peribadi yang sebegitu, hmm?

membawa dan mengendalikan halaqah adik-adik sekolah juga sama. berbeza dengan saya, rata-rata akhawat yang pekerjaannya guru lebih pandai berkomunikasi, sesuai dengan pendekatan remaja. namun ternyata tidak mudah untuk saya menggunakan laras bahasa mereka. serius, kefahaman dan kematangan mereka tidak sama seperti adik-adik di IPT.


"people always say you have to do what you love or love what you do. but I think in the meantime, you should just do what makes you grow."
- Redza Minhat
 
nah, keluar dari zon selesa tak selalu mudah. terima kasih untuk orang-orang yang selalu bersabar dengan saya; "I didn't need you to fix me, I needed you to love me while I fix myself."

 sekian, anekdot bulanan.
(sebab macam sekali sebulan je aku menulis sekarang. tiga hari tau menulis seciput ni saja, huh!)

Wednesday, March 30, 2016

khusyuk dalam The Lost Symbol.

bismillah

i.

WRI-TER
noun
1. a peculiar organism capable of transforming caffeine into books. 

KA.FEIN masih menderu laju dalam darah saya saat ini. tidak dapat tidak, saya terpaksa akur, ia sememangnya ada kuasa dalam menggerakkan kepala dan jari saya sekaligus. hingga kini saya belum mendapat jawapan, mengapa kebanyakan penulis adalah seorang peminum kopi tegar walau tidak semuanya?

saya sedang mencuba untuk menulis lebih banyak, menyedari setiap satunya ada memori tersendiri. saya mahu mengulang baca, meski sayalah yang menulis dan sayalah juga yang membaca. kekangan masa, selain emosi yang mendesak, seringkali menghalang saya menulis; sama ada malu menuliskan atau resah dibacakan.

saya paling maklum, sayangnya jika tidak menuliskan, kerana hari-hari adalah refleksi yang berterusan. saya semacam Sylvia Plath sewaktu beliau sendiri akur, "every story, every incident, every bit of conversation is raw material for me." 



ii.

bercerita tentang 'conversation', sambil makan malam semalam, Faaizz suarakan pada saya tentang satu mesej dalam halaman-halaman The Lost Symbol, tulisan Dan Brown. nah, janganlah dibayangkan situasi ini persis acara bedah buku dengan sandaran hujah, jargon atau istilah yang hebat belaka. percayalah, ia berlaku dalam keadaan biasa-biasa sahaja semacam orang lain rancak bersembang dan bercerita sesantainya. sekurang-kurangnya, ayat "power ni power!" berdesing berkali-kali ke telinga, ketika saya ralit mengunyah nasi berlaukkan sup ayam. begitulah semangatnya orang di sebelah saya berkisah tentang penulis kegemarannya.

genre bacaan kami berbeza. dia pilih Dan Brown. saya pilih Elizabeth Gilbert. dia pilih Nizam Bakeri, saya pilih Imaen. dia pilih Stephen King, saya pilih Cecilia Ahern. namun satu keberuntungan besar bagi saya jika dia bercerita tentang apa-apa sahaja didengar atau dilihat, khususya yang dibaca. dengan sisi extrovert orang lain, kita yang introvert ini macam baca, tapi sebenarnya kita tidaklah baca pun, hiks! iyalah, dari A ke Z dia mampu bercerita dengan panjang lebarnya, phew. 


The Lost Symbol, Dan Brown

entah sejauh mana kebenaran fiksyen Dan Brown ini, saya suka tentang nilai F-O-K-U-S yang dikongsikannya. fokus adalah antara masalah terbesar saya. saya cukup mudah distracted, dan adakalanya cepat bosan dengan sesuatu. semua ini membuatkan saya ada kecenderungan untuk melakukan satu-satu kerja dengan sangat cepat atau sangat lambat. 

jujurnya, saya agak 'rimas' dengan kepesatan maklumat yang meruak hari-hari. ada sahaja yang harus difikirkan, dipertimbangkan, dibelek dan diamati saban hari, lagi-lagi dengan serba-serbi aplikasi hari ini. ada Facebook untuk diperhati, ada WhatsApp untuk dibaca, ada Instagram untuk dilihat atau ada e-mel untuk dibelek. oh, bukan! tidak saya nafikan, kepentingan setiap satunya. sehari tanpa internet, ada sahaja hal-hal yang tertinggal. saya tidak mahu bercerita tentang baik buruknya, tetapi dengan kebaikan yang ada, sejauh mana penggunaannya boleh dioptimumkan sebaik-baiknya?

peralihan maklumat demi maklumat, cerita demi cerita, berita demi berita, kisah demi kisah; tidakkah semuanya berlaku dengan cukup pantas dan cepat? maka kesannya, fokus saya untuk satu-satu benda hanya sekejap sahaja sebelum beralih ke hal-hal lain atau terkemudian. malah, tersedar saya bahawa pengamatan dan penelitan saya terhadap sesuatu juga tidak tajam atau kritis. saya cuma melompat dari satu ke satu, tanpa pemahaman yang semaksimumnya. fuh, apakah saya sahaja yang sebegini kompleks?  

kebetulan terbaca di halaman Facebook (Jejak Tarbiah), juga berkongsi seputar hal yang sama;

"kenapa perlu habiskan masa dan fokus untuk sesuatu yang kita tak jelas? samada untuk belajar, berhibur atau untuk kepuasan hidup. kita yang tentukan." #johngmiller #questionbehindquestion


merefleks nilai FOKUS ini semula, saya mengaitkannya dengan KHUSYUK, salah satu ciri yang ada pada mukmin. tidakkah Allah mencirikan orang yang berjaya, adalah orang yang khusyuk dalam solatnya? sesiapa yang khusyuk dalam solatnya, maka pastilah dia khusyuk dalam hal-hal lain. tilawah al-Quran misalnya, atau kerja-kerja harian, atau urusan-urusan lain yang menuntut prioritinya. 

seringkali, satu sifat yang baik akan membuahkan sifat-sifat baik yang lain. saya percaya andai khusyuklah orangnya, maka pastilah dia juga tenang, tidak gelabah, cermat dan teliti, sabar serta tidak terburu-buru dalam mengendalikan emosi dan perasaannya, hmm. 

mengingatkan betapa sukarnya untuk khusyuk hari ini, tersedar saya pada kebenaran satu hadis (sumber: artikel) daripada 'Ubadah bin al-Samit. beliau berkata kepada Jubair bin Nufair;

"jika engkau suka, aku akan menyebutkan ilmu yang pertama kali diangkat. ia adalah (ilmu) khusyuk. suatu masa nanti, kamu akan memasuki masjid namun tidak menemui seorang pun yang khusyuk."
(al-Mustadrak 'ala al-Sahihayn, kitab al-'Ilm no. 340-341)

Imam Ibn Rajab al-Hanbali berkata;

Ubadah berkata seperti itu kerana ilmu terbahagi kepada dua. bahagian pertama adalah ilmu yang terhasil di hati manusia iaitu ilmu yang berkenaan dengan Allah S.W.T, nama-nama-Nya, sifat-sifat-Nya yang melahirkan rasa takut, hormat, kagum, tunduk, cinta, mengharap, meminta dan bertawakal kepada-Nya. inilah ilmu yang bermanfaat sebagaimana kata-kata Ibnu Mas'ud, 'sekumpulan orang membaca al-Quran namun tidak melepasi kerongkongnya. andai kata al-Quran itu masuk ke hati, ia akan menetap dan memberi manfaat...'
bahagian ilmu yang kedua pula ialah ilmu pada lisan dan ilmu ini akan menjadi ajaran Allah S.W.T (untuk menyeksanya), sebagaimana dalam hadis, 'al-Quran akan menjadi hujah untukmu atau (hujah memberatkan) atasmu.'
(Ibn Rajab al-Hanbali, Jami'al-'Ulum wa al-Hikam, tahkik: Syu'aib al-Arna'ut, Riyad: Dar al-Muayyad, hadis ke-36, hlmn. 409)

padanlah Dan Brown menuliskan, orang yang melakukan yoga (meditasi) lebih panjang umurnya. namun, saya merefleks sebaliknya;

"sebab tulah Prof Syed Naquib al-Attas misalnya, walaupun sudah berusia, tapi 'akal'nya masih muda. orang-orang yang berilmu macam ini, begitu khusyuk dan fokus dalam ibadahnya (keilmuan), maka Allah pelihara dan jaga 'umur' akalnya!"

Allah, kurniakanlah kami kekhusyukan hati dan ketundukan jiwa; fokus, fokus, dan fokus!
merendahlah, hamba-sehambanya!


Wednesday, March 16, 2016

menuliskan dari Perempuan untuk Perempuan di Hari Wanita Sedunia;

bismillah

(i)

sejak ofis Faaizz berpindah agak jauh dari rumah, rutin pagi kami mulai berubah. tidak boleh lagi berlama-lamaan menyapa telinga dengan segmen #Hashtag di Bernama.FM, atau berleka-lekaan berdua menikmati sarapan pagi.

kini, ada sesetengah pagi yang saya selesai masak sebelum solat Subuh. ada juga yang saya selesai masak di malam sebelumnya. ada juga pagi yang tidak tersempat menyiapkan apa-apa. namun sebolehnya, kami sedaya upaya menyediakan sarapan sebelum keluar rumah. sejak berumahtangga, saya sendiri terbiasa mengambil makanan berat sebagai sarapan. padahal sebelum ini boleh saja saya 'redah' dengan seketul Twiggies. "breakfast like a King, lunch like a Queen, dinner like a Slave," itulah 'prinsip' dia yang entah diambil dari mana. namun kadang-kadangnya, gaya Slave dia boleh tahan juga, sebab lebih mewah dari King, hiks.

di rumah kecil kami, kedudukan bilik air dan ruang dapur sangat dekat. sesekali sebelum solat Subuh, ada satu hal yang saya suka Faaizz lakukan sebelum dia ke bilik air. saya cuma mengintai saja dari jauh; perlahan-lahan dia akan membuka kuali atau periuk yang bertutup dan menjenguk isi yang di dalam. entah apa yang difikirnya; mungkin saja "laa masak ni ke?", "laaa, ni je ke?" atau lain-lain reaksi yang tak terbayangkan saya. 

tingkah yang biasa-biasa saja pada orang lain, mungkin? tapi bagi saya, selain 'terima kasih', itu adalah antara little things atau bentuk apresiasi. jujur, saya tidak pernah minat memasak, saya tidak pernah suka memasak, saya tidak pernah terfikir saya mampu memasak sekian-sekian resepi dari Google, lulz. hari ini, saya betul-betul melakukannya, sedaya menikmati 'seni'nya dan sedang memaknakan sepenuh-penuhnya!

well, people change. dengan tanpa ekspektasi yang melangit, saya lebih bebas untuk belajar sedikit demi sedikit.

Sheika, teman rapat saya di Matrik UIA dulu pernah menggelar saya dengan gelaran 'malikatus sabri' (pemilik sabar). dimarah, diam. dilenting, diam. dikasar, diam. tetapi hari ini, ternyata sangkaan saya sebelum dan sesudah bernikah meleset. Faaizz lebih menyamai Eyup dalam Black Milk, sebab sayalah yang impatient, impulsive, irrational, emotional dan walking chaos, serius!




fuh, terima kasih kerana sudi bersabar tanpa meletakkan ukuran apa-apa. saya paling maklum, bahawa manusia akan berubah seiring masa. namun, saya mohonkan agar kebaikan yang satu ini tidak akan pernah berubah, malah bertambah dengan adanya barakah, -insyaAllah. 


(ii)




bercerita tentang ekspektasi, kedua-dua karya Elif Shafak (Black Milk & The Forty Rules Of Love) mengutarakan sudut pandang dan olahan fikir yang sama. ada satu TEMA yang persis, dominan dan sekata dalam kedua-dua karyanya ini; -EKSPEKTASI PEREMPUAN. terkait ekspektasi orang lain padanya, lebih-lebih lagi ekspektasi dia pada dirinya sendiri. 

saya selalu menyangka saya seorang saja yang ada prejudis atau sangkaan pada diri sendiri. saya harus menjadi isteri yang seperti ini; independent macam ini, strong macam ini, power macam ini dalam segenap aspek dan sekian berjela-jela kriteria yang memenuhi ruang kepala saya. akhirnya, saya yang kecewa sendiri apabila semuanya tidak tercapai pun. down dan tak happy! malah, ada dalam hal-hal yang saya akui, saya agak terlambat dan terkebelakang berbanding orang lain. 

hinggalah saya mengedit buku Bila Emak Berdrama, menonton sesi diskusi Maria Elena dan Aiman Azlan, dan tidak terkecuali membaca buku Elif Shafak, tidak semena-mena saya menemukan hal-hal yang sama. entahkan saya seorang, atau mereka-mereka ini atau sememangnya kesemua perempuan cenderung memiliki perspektif yang sama tentang ini. hinggalah dia atau mereka ini perlahan-lahan melaluinya, seterusnya belajar mengawal dan mengendalikannya. tidak kiralah di bidang apapun; sama ada isteri, ibu, bos, pekerja bahkan seorang aktivis sekalipun.

Maria Elena mengatakan begini, "you have to understand that, being a woman, people will put a lot of expectations on you. but...".  Kak Salwa Saleh merumuskan, "...tetapi saya belajar untuk menerimanya."

 Bila Emak Berdrama, hlmn. 23

Juga, Elif Shafak yang menyimpulkan, "it is a learning process, and for some it simply takes longer than for others." 

Black Milk, pg. 8
Black Milk, pg. 9

akhirnya, saya dapati kehidupan masing-masing berbeza. untuk sesetengah hal, ada yang ok cara ini, ada yang prefer cara itu, ada yang selesa cara begini, ada yang mudah cara begitu. 

dengarkanlah nasihat dan pandangan, carilah bahan rujukan, amatilah pengalaman orang lain, seterusnya berbuatlah dengan cara yang paling dekat dengan diri sendiri. 

hmm?


(iii)

kita memang tidak akan mampu sendiri. "...she might require additional help, support and guidance before she starts living fully in the present again," begitu simpul Elif lagi. 

orang lain boleh selalu memberi, tetapi andai diri tidak selalu memberi peluang pada diri, selamanya apapun tidak akan menjadi. tabik dan hormat saya untuk para Perempuan yang tidak lelah mencuba menjadi Perempuan yang disayang -Tuhan. saya selalu percaya, niat yang baik akan selalu membuahkan amal-amal yang baik. seringkali dalam menyuburkan niat, untuk menata salah silap sendiri, saya terkenangkan kata-kata Ibnu Athaillah yang ini;

"kesedihan atas merosotnya amal ketaatan tanpa berusaha untuk kembali membaikinya adalah petanda dari keterperdayaan." - Ibn Atho'illah

semoga diri sendiri tak 'berlepas tangan' kerana menyangka Dia lebih menilaikan niat yang awal tadi. semoga diri sendiri tak selalu tertipu dengan niat yang hanya tinggal niat, tanpa usaha sedikitpun untuk memperbaikinya.

selebihnya, saya tahu, Allah sahaja yang Maha Tahu.


(iv)

saya menuliskan draf ini di Hari Wanita Sedunia, 8 Mac yang lalu, dan akhirnya ter-publish hari ini, fuh! 

"Happy International Women's Day! hashtag DEGIL, hashtag INDEPENDENT, hashtag BIJAK, hashtag (entah apa lagi)..."  

sekurang-kurangnya, itulah baris kata yang paling saya ingat di hari itu. saya menuliskannya untuk mengenangkannya lagi dan lagi di masa hadapan.

well, siapa suruh kahwin dengan Wanita..Yang Menulis? kbai.


"WRITING IS BOTH MASK AND UNVEILING." - E.B WHITE
 
 
 

Tuesday, February 16, 2016

antara Black Milk atau Sambal Sotong?

bismillah

(i)

"selalu bila orang tulis ulasan filem, dia sebenarnya bukan tulis ulasan. dia hanya tulis sinopsis semata-mata." - status fb Kak Eja

inilah sebabnya mungkin, saya tertarik membaca ulasan-ulasan Kak Eja tentang filem, antaranya JAGAT. babak yang paling saya suka ialah sewaktu Apoi (watak utama) mempersoalkan tindakan guru seninya yang memberikan gred C pada lukisannya. padahal padanya, itulah yang terpaling unik dan cantik, berbanding lukisan rakan-rakannya yang lain. 

ya, Apoi digambarkan seorang budak darjah 6 yang bersungguhan minatnya terhadap seni. dia mampu menuliskan karangan  dengan daya imaginasi yang luar biasa, bertajuk 'the flying pen'. sayangnya, dia dimarahi ayahnya kerana ia setentang dengan logik dan rasional. dia juga mampu membayangkan sesuatu yang di luar kotak dengan melukiskan corak batik. malangnya, lukisannya digredkan C.

saat ditanya, gurunya akur pada keindahan lukisan tersebut. namun pada si guru, Apoi tidak menurut arahan. ketika diberikan sudu dan gelas untuk dilukis, Apoi malah 'melukiskan' dentingan bunyinya. ini salah! (fuh, saya tergamam menonton babak analogi ini)

"Apoi sekali lagi tidak mendapat A untuk subjek lukisan sedangkan idea yang dibawa olehnya adalah idea luar kotak. Apoi tidak melihat sesuatu secara zahir tetapi melihat kepada subteks sesuatu perkara. hal ini disebut oleh gurunya - spoon and glass. but you draw the clink. sudu dan gelas hadir secara zahir. dentingan bersifat batiniah." - Saiyidah Muizzah, BukanAmigoBiasa

saya teringat Einstein dalam salah satu kuotnya;

"everybody is a genius. but if you judge a fish by its ability to climb a tree, it will live its whole life believing that it is stupid." the question I have for you at this point of our journey together is, "what is your genius?"

selebihnya adalah tentang perjalanan hidup Apoi, terbelenggu oleh dunia JAGAT (jahat). kepuasan diri yang tak tertunai, kehendak diri yang tak terpuas, menemukan puntung rokok dan longgokan sampah di akhir cerita. kesudahannya, pada nilaian masing-masing. pendek kata, saya mahu tonton kali kedua untuk menaip semula dialog-dialognya!
 

(ii)





sayang sekali untuk saya habiskan Black Milk: On Motherhood and Writing. maka, saya memilih untuk membacanya perlahan-lahan, halaman demi halaman setiap hari. tentang perjalanan Elif Shafak, berbelah bahagi antara dunia karier atau parenting/motherhood, antara perempuan yang indipenden, intelek, moden atau perempuan yang 'perempuan' (di rumah; jaga makan pakai suami, jaga anak, dibelenggu kerja-kerja rumah; memasak, membasuh dan sebagainya).


Black Milk, Elif Shafak; pg. 31

ringkasnya, buku ini adalah persoalan-persoalan hidupnya, sebuah perjalanan dalam menemukan suara-suara yang asli dalam dirinya. tentang kesangsiannya, tentang keraguannya, tentang keinginannya, tentang pengharapannya, tentang ekspektasinya, yang secara tidak langsung menemukan 'saya' dalam Elif Shafak.

saya suka bagaimana Elif menonjolkan suara-suara (The Choir of Discordant Voices) dalam dirinya dengan jelmaan/figura finger women. setiap satunya punya personaliti, watak malah nama sendiri; Miss Ambitious Chekhovian, Miss Highbrowed Cynic, Little Miss Practical, Dame Dervish, Mama Rice Pudding, Blue Bell Bovary dan lain-lain.

nah, meski ia bercerita tentang dia dan hidupnya, temanya jelas, padat, dan spesifik, namun ia membuatkan saya lebih bertanya tentang saya dan bukan dia. entah, buku yang baik (pada saya) selalu begitu; ia tidak menyuguhkan arahan, tetapi menawarkan pilihan. ia tidak terus-terusan memberi sebelum mengajak kita terlebih dahulu berfikir. 

passion Elif dalam dunia penulis dan penulisan tak terbelah bahagi, hinggakan marriage dan motherhood menjadi antara pertimbangannya. dunianya sepenuhnya dengan buku, kajian dan tesis, sebelum dia bertemu Eyup dan suara-suara asli dalam dirinya sendiri. saya suka alur ceritanya yang diselitkan dengan kehidupan peribadi penulis-penulis lampau; Leo Tolstoy, Sylvia Plath, Jane Austen, Fitzgerald, Ayn Rand dan sebagainya.

serius, penulis memang psycho, ahah! lagi-lagi kes penulis bertemu penulis, kemudian bercinta dan berkahwin. kegilaan apakah apabila saling menyaingi di pentas sastera, siapa paling handal? macam Zelda dan Scott Fitzgerald. ada dalam salah satu catatannya, Zelda menuliskan;


Black Milk; Elif Shafak; pg. 133


jadi apakah kesudahan Elif Shafak? entah, saya masih (mahu) membaca.



(iii)


saya cemburu dengan Apoi, cemburu dengan Elif, cemburu dengan orang-orang yang bertemu dengan sebenar-benar passion dalam jalur hidup mereka. ada yang menulis, ada yang berbisnes, ada yang melukis, ada yang beraktivisme, ada yang menubuhkan itu dan ini, baik passion ukhrawi mahupun duniawi. 

kalau kata Confucius, "choose a job you love and you will never have to work a day in your life," maka adakah saya masih mencari, atau apakah sebenarnya kita akan menemukan ketika memulakan? hmm.  

"I WANT YOU TO STOP THINKING. STOP EXAMINING, STOP ANALYZING AND START LIVING THE EXPERIENCE." - Dame Dervish

'Allah, pimpinlah hatiku selalu.'


______
*menulis ketika ketiadaan Faaizz di rumah Ahad lalu, kemudian terhenti dek aktiviti memasak sambal-sotong-yang-sekian-lama-baru-terasa-macam-sambal. akhirnya, terpublish jugalah entri ini di hari ini. (ya, bajet macam ahli politik anak sepuluh, bukan? lol)


Thursday, January 21, 2016

TUNGGU, ENGKAUKAH ITU?

bismillah




 sumber: tarbawi edisi 264; banyak hal baru yang mengantarkan kita ke persimpangan


nah, membaca ini membuatkan saya tersedar bahawa hakikat 'lingkungan baru'  sering kali tampil dalam hidup sebagai medan atau pentas ujian. untuk siapa-siapapun, seseorang tidak akan pernah terkecuali. kita bertumbuh, kita mendewasa, kita membesar. itulah lingkungan-lingkungan baru yang tercipta.

saya selalu mendengar, orang berkata kita diuji atas kapasiti atau ruang-ruang terlemah kita, untuk diuji iman biar lebih meninggi. maka, sifat ujian itu pula sama ada dua; berupa sebuah 'musibah' atau 'nikmat'. kalau musibah, ia lebih menjauhkan kita dari Tuhan. kalau nikmat, ujian itu ditatapi dengan makin mendekatnya kita kepada -Dia. 

kita tidak pernah tahu sebetulnya, satu-satu manusia, tempat, persekitaran yang berpotensi menjadi medan ujian. kita tidak pernah tahu, sebab ujian tidak semuanya pahit. adakala, ia tampil dalam bentuk terindah dan termanis. kita suka, senang dan gembira.

maka, untuk selalu terhubung, agar satu-satu ujian itu cuma nikmat yang mendekatkan kita dengan Dia, saya cuma (pernah) tahu satu cara. satu cara yang paling teguh dan ampuh, paling kukuh dan jitu, paling dalam, sembunyi dan rahsia, yakni -doa. jangan pernah biar hari-hari berlalu tanpa dialog-dialog dengan Tuhan, bahawa aku telah begini dan begini. bahawa aku telah mencuba untuk menjadi seperti ini dan ini, bahawa hari ini aku telah gagal, bahawa hari ini aku telah sukses, bahawa hari ini aku telah kalah, bahawa hari ini aku telah jaya, dan Dia menyaksikan seluruhnya tentang aku, mendengarkan kesemuanya tentang aku, tanpa tercerita pada siapa-siapa atau apa-apa, dan begitulah yang selanjutnya dan seterusnya.

tidak, dialog tidak harus berlaku cuma di tikar sejadah, ia boleh sahaja jadi di pasaraya, di toko buku, di waktu memasak, di saat mengemas dan menghias, dan waktu-waktu tak terjangka. biarkanlah dialog itu terus berdenyut, jangan sampai ia senyap dan mati. ringkasnya, biar nama Tuhan terus berdegup di hati, agar suara-suara kebenaran akan selalu kedengaran.

semuanya dengan pengetahuan-Nya, dan ini telah buat saya sedar tentang sesuatu; bahawa sentiasa ada juga orang-orang yang sebenarnya, berjuang di dalam hatinya sendiri, meratib harapan dan keyakinan tanpa lantang disuarakan. masih, ada orang-orang yang begitu. 

untuk orang itu, moga Tuhan masih selalu mahu mendengarkan, masih ingin berbelas simpati, masih bersama dan meneguhkannya, sebab hanya Tuhan sahajalah yang tidak pernah menghukumi, bahkan tidak jemu-jemu mengampuni. 

selamat terus berjuang dengan hatimu sendiri. selamat terus berkata kepada Tuhanmu, 'aku akan berjuang lagi. aku akan mencuba lagi menjadi lebih baik dari semalam.'

tunggu, engkaukah itu yang sedang menutur doa?